Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-60 Tahun 1439H/ 2018M dengan tema ''Kesatuan Ummah Asas Kesejahteraan Negara'' telah berlangsung dengan jayanya pada 7 hingga 12 Mei 2018 bersamaan 21 – 26 Sya’ban 1439H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XV Sultan Muhammad Ke-V. Majlis turut dihadiri oleh TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Mohd Khalil Yaakob dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
 
Qari dan Qariah dari Malaysia, Abdullah Fahmi bin Che Nor dan Suhailah binti Zulkifly masing-masing diumumkan sebagai johan kategori tilawah MTHQA edisi ke-60 pada tahun ini. Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah utama kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan YaPEIM, wang tunai RM40,000, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan. Abdullah Fahmi memperoleh markah 92.09 peratus manakala Suhailah binti Zulkifly memperoleh markah 92.05 peratus.
 
Qari Iran, Mokhtar Deghan Estajroudi dan qariah Indonesia, Khamisatudhua Abdul Wahab muncul sebagai naib johan kategori tilawah yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000, cenderahati dan sijil penyertaan.
 
Qari dan qariah yang memenangi tempat ketiga pula ialah Widadul Wahidah binti Mahamod dari Singapura dan Salah Eddine Haissam dari Algeria yang telah berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000, cenderahati dan sijil penyertaan.
 
Bagi kategori menghafaz al-Quran bahagian lelaki, Kolim Siddiqee dari Bangladesh muncul sebagai juara, manakala Waleed Hamad Mohamed Ahmed al-Marrzooqi (UAE) di tempat kedua dan Muzmil Ahmed Mohammed Ahmed (Sudan) di tempat ketiga. Johan kategori menghafaz al-Quran bahagian wanita pula disandang oleh Bilghiss Dar dari Mauritania, Siti Nadhirah binti Mohd. Syafie (Malaysia) di tempat kedua dan Ashura Amani Lilanga (Tanzania) di tempat ketiga.
 
Johan bagi kategori menghafaz al-Quran menerima hadiah utama kepingan emas bernilai RM50,000 sumbangan YaPEIM, wang tunai RM25,000 dan piala iringan manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan RM15,000.
 
MTHQA tahun 2018 menyaksikan penyertaan seramai 90 orang peserta daripada 57 buah negara termasuk penyertaan kali pertama dari tiga buah negara iaitu Benin, Macedonia dan Niger. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 32 buah negara menyertai kategori Tilawah al-Quran dan 25 buah negara menyertai kategori menghafaz al-Quran.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XV Sultan Muhammad Ke-V, turut berkenan berangkat ke majlis santapan minum petang bagi meraikan jemaah hakim, peserta dan ahli jawatankuasa MTHQA ke-60. Majlis santapan yang berlangsung di Dewan Santapan Utama Istana Negara telah dihadiri oleh 300 jemputan.
 
MTHQA60 2018 1
 
MTHQA60 2018 2
 
MTHQA60 2018 3
 
MTHQA60 2018 4
 
MTHQA60 2018 5
 
MTHQA60 2018 6
 
MTHQA60 2018 7
 
MTHQA60 2018 8
 
MTHQA60 2018 9
 
MTHQA60 2018 10
 
MTHQA60 2018 11
 
MTHQA60 2018 12