jata negara small

Kenyataan Media
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)

Berkaitan

Majlis Pelancaran Sambutan Program Ihya’ Ramadan
Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M

 
Bil. 9/2024

1. Agensi Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M pada 8 Mac 2024 (Jumaat) bersamaan 27 Syaaban 1445H bermula pada jam 5.30 petang hingga 8.00 malam di Dewan Jamuan Masjid Putra, Putrajaya.

2. Majlis Pelancaran ini yang dilaksanakan bersempena ketibaan bulan Ramadan al-Mubarak telah dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Agensi-agensi Hal Ehwal Agama Persekutuan di bawah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Tema Sambutan Ihya’ Ramadan pada tahun ini adalah Ramadan Sejuta Rahmah.

3. Objektif utama Majlis Pelancaran Sambutan Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M ini adalah untuk mengumumkan kepada umat Islam berkaitan program-program agensi hal ehwal Islam Persekutuan yang akan dijalankan di sepanjang bulan Ramadan.

4. Antara tujuan penganjuran majlis ini adalah untuk:

(a) Memberi peluang kepada Agensi Hal Ehwal Islam mempertingkatkan tahap penghayatan agama Islam melalui perkongsian ilmu dan aktiviti ibadat sepanjang Ramadan;

(b) Mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan Agensi Hal Ehwal Islam di bawah Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri;

(c) Mengukuh dan memperkasakan jalinan kerjasama strategik bersama Agensi Hal Ehwal Islam di Malaysia; dan

(d) Menerapkan budaya berdakwah dalam diri Agensi Hal Ehwal Islam di samping menyuburkan semangat untuk meraih keredhaan Allah SWT.

5. Majlis ini dihadiri oleh 350 orang yang terdiri daripada Ketua-ketua Agensi Hal Ehwal Islam Persekutuan, Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri, Ahli Tetap Sekretariat Korporat Dakwah JAKIM, kakitangan agensi dan penerima manfaat zakat Wilayah Persekutuan di Putrajaya.

6. Majlis ini telah menyerlahkan peranan Agensi Hal Ehwal Islam dalam menyemarakkan bulan Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat dan mendidik. Sekaligus mendorong masyarakat menyertai aktiviti-aktiviti kerohanian seperti solat, tilawah dan tadarus al-Quran, memperkasa ilmu, bersedekah, beramal jariah dan sebagainya.

7. Secara tidak langsung juga, masyarakat sedar bahawa kegiatan ibadah, penghayatan ilmu, bantuan kepada golongan mustad'afiin dan asnaf adalah menunjukkan ketinggian komitmen peneraju Hal Ehwal Islam terhadap penyampaian risalah Islam.

8. Di samping itu, majlis ini telah memberi impak kepada masyarakat Islam dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan Ramadan, manakala yang masyarakat bukan Islam pula akan turut menghormati kesucian bulan ini.

9. Sesungguhnya Agensi Hal Ehwal Agama Islam sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri diharap agar dapat sentiasa memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam usaha memperkasa penyampaian mesej agenda Malaysia Madani dan Transformasi al-Falah demi untuk memartabatkan Islam dan membangunkan negara ini.


Sekian, terima kasih.

DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
8 Mac 2024