jata negara small

Kenyataan Media
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)

Berkaitan

Karnival Mahabbah Komuniti Madani

 
Bil. 10/2024


1. Agensi Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri mengadakan Karnival Mahabbah Komuniti Madani pada 9 Mac 2024 (Sabtu) bersamaan 28 Syaaban 1445H bermula pada jam 6.30 pagi hingga 10.00 malam di Masjid As-Syakirin, Kg. Bharu Lanjut, Sepang.

2. Karnival Mahabbah Komuniti Madani merupakan sebuah program mesra masyarakat yang dirancangkan secara khusus ini bertujuan untuk menyemarak dan menyuburkan aktiviti menyantuni komuniti dalam pelbagai aspek dan sekaligus untuk mendekati masyarakat yang lebih memerlukan.

3. Penganjuran program ini selari dengan Pelan Transformasi al-Falah (PTF) (Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI 2023-2027) yang bertepatan dengan pendekatan baharu Malaysia MADANI. Melalui Pelan Al-Falah ini, teras Kesejahteraan Insan adalah sebagai hala tuju untuk merancang dan melaksanakan program-program yang memberi fokus kepada dua gerak kerja utama iaitu pengislahan dan pemantapan tadbir urus agar segala perancangan yang dilaksanakan secara naratifnya memberi manfaat kepada rakyat.

4. Program ini merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) Daerah Sepang, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Ihtimam Malaysia, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Labu Lanjut dan Masjid As-Syakirin Kg. Bharu Labu Lanjut.

5. Selain itu, karnival ini juga turut dijayakan oleh Kilang Makanan Mamee Sdn Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Julie’s Manufacturing Sdn. Bhd dan Cabutan Bertuah yang ditaja oleh Yayasan Ihtimam Malaysia.

6. Antara aktiviti dan pengisian karnival ini adalah Solat Subuh Macam Jumaat, Slot Sembang Syabab dan ParenTHINK Talk, Rewang Komuniti, Sukan Riuh Sekampung, Forum Ambang Ramadan bertajuk Islah Diri, Islah Komuniti dengan penampilan khas Ustaz Zul Ramli dan Ameng Spring serta pelbagai lagi aktiviti lain.

7. Sumbangan Wang Tunai berjumlah RM100.00 daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Sumbangan Foodbank berupa barangan keperluan asas bernilai RM100.00 daripada pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah diperuntukkan kepada 100 orang penerima dalam kalangan Asnaf Ar-Riqab. Jumlah keseluruhan yang disumbangkan oleh MAIS adalah berjumlah RM10,000.00 dan YAPEIM juga menyumbang RM10,000.00. Turut menyumbang sama RM100.00 daripada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Yayasan Wakaf Malaysia (Jakim-YWM) kepada komuniti non-muslim yang memerlukan.

8. 100 orang penerima Asnaf-Ar-Riqab ini merupakan individu yang terpilih dalam kalangan klien Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Sepang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang dan komuniti setempat yang merupakan warga penduduk Kg. Labu Lanjut, Sepang.

9. Karnival ini dihadiri oleh 1000 orang yang terdiri daripada rakan-rakan agensi di peringkat persekutuan, negeri, pihak swasta, industri dan Badan Bukan Kerajaan. Turut memeriahkan karnival adalah warga belia, mahasiswa/siswi dan komuniti setempat yang berada berhampiran dengan Kg. Labu Lanjut.

10. Selain penganjuran karnival, kita juga mengambil peluang untuk turun padang menyantuni komuniti yang memerlukan di sekitar Sepang melalui aktiviti Peduli Outreach dengan penglibatan rakan agensi dan Sukarelawan Sosial Islam yang akan diadakan pada 10 Mac 2024 (Ahad).

11. Karnival ini diharapkan akan memberi impak positif kepada komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang isu-isu sosial dan menjadi satu pendekatan yang efektif untuk memperkasakan institusi keluarga dalam menghadapi cabaran semasa.

12. Sesungguhnya kerjasama strategik di peringkat Persekutuan, Negeri dan komuniti setempat dalam penganjuran program-program bersifat kemasyarakat ini dapat diperluaskan kepada semua golongan sasar yang memerlukan sekaligus dapat memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam usaha memperkasa penyampaian mesej agenda Malaysia Madani dan Transformasi al-Falah demi untuk memartabatkan Islam dan membangunkan negara ini.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
9 Mac 2024