jata negara small

Kenyataan Media
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berkaitan

Isu Penjualan Sarung Kaki Tertera Kalimah Allah

 
Bil. 11/2024


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini. JAKIM sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan memandang serius terhadap isu ini kerana telah mengguris hati umat Islam. Ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti keagamaan malahan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

2. Justeru, semalam 18 Mac 2024 JAKIM telah memanggil Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. KK Chai dan telah memberi amaran keras supaya perkara ini tidak berulang lagi. Pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang. Pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula Prosedur Operasi Standard syarikat.

3. JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

4. Dalam masa yang sama semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Sekian.

DATIN PADUKA HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
19 Mac 2024