jata negara small
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN
 
MAJLIS IFTAR MADANI
 
Bil. 12/2024

1. Sukacita dimaklumkan bahawa JAKIM akan mengadakan Majlis Iftar Madani (MIM) pada 28 Mac 2024 (Khamis) di Bulatan Dataran Putra, Putrajaya mulai jam 5.30 petang sehingga 8.00 malam bersempena dengan cuti Nuzul Quran. Program yang julung kali diadakan ini akan dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri pada jam 7.00 petang. Program ini adalah anjuran bersama JAKIM dan Perbadanan Putrajaya serta kerjasama dengan 14 Agensi-agensi Agama Persekutuan dan rakan-rakan strategik yang lain termasuk Tenaga Nasional Berhad, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM.

2. Objektif majlis ini diadakan adalah untuk merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki dan sekaligus dapat bersama-sama berbuka puasa dengan YAB Perdana Menteri. Selain itu juga, ia membuka ruang kepada agensi Kerajaan bersama YAB Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat di negara ini di samping menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini. Konsep program ini adalah bertepatan dengan gagasan Malaysia Madani oleh YAB Perdana Menteri yang antara lain menekankan nilai hormat, ihsan dan kebersamaan sesama ahli masyarakat.

3. Seramai 10,000 orang dijangka akan membanjiri Bulatan Dataran Putra, Putrajaya untuk berbuka puasa beramai-ramai secara santai dan secara duduk bersila bersama-sama dengan YAB Perdana Menteri dalam Majlis Iftar Madani. Sebanyak 10,000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru disediakan kepada tetamu.

4. Orang ramai yang bakal akan hadir adalah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Jemaah Menteri dan Pengurusan Tertinggi Kerajaan, GLC, belia, orang awam, kanak-kanak dan 180 asnaf di Wilayah Pesekutuan akan berbuka puasa di Dataran Putra, Putrajaya. Bagi memastikan keselesaan orang awam yang hadir, shuttle bas disediakan di checkpoint Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra dan kenderaan boleh diletakkan di kawasan parkir di Suasana dan CIMB Presint 2 (Selatan) serta di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri (B13) yang mencukupi.

5. Acara-acara menarik sempena Majlis Iftar Madani ini ialah penampilan istimewa persembahan nasyid daripada Kumpulan Zawfan dan Awla, Tazkirah Santai Ustaz Norazam Bahadur dan Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee, dan Tausiyah Ramadan Ustaz Abdul Hadi Bakri, Ketua Sekretariat Duat Al Falah. Majlis Iftar Madani ini juga dapat menarik kehadiran pelancong asing yang ingin menimba pengalaman menikmati juadah berbuka puasa di negara ini.

6. Justeru itu, bagi memeriahkan lagi majlis tersebut segenap lapisan masyarakat adalah dijemput hadir beramai-ramai bersama keluarga ke Majlis Iftar Madani (MIM) pada 28 Mac 2024 (Khamis) ini di Bulatan Dataran Putra, Putrajaya mulai jam 5.30 petang sehingga 8.00 malam.

Sekian.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
27 Mac 2024