Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
PUNCAK ALAM, 20 MAC 2024 – JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (Unit Bimbingan Juvana) telah menganjurkan Program RnR (Remaja dan Ramadan) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia bagi prospek-prospek remaja lingkungan umur 17-22 tahun bertempat di Pusat Koreksional Puncak Alam, Selangor.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. Ucapan aluan majlis perasmian telah disampaikan oleh Timbalan Komisioner Penjara Tuan Aminon bin Adnan, Pengarah Penjara Negeri Selangor & W.P. Kuala Lumpur. Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM dan Penolong Komisioner Penjara Tuan Mohd Haniff bin Che Omar, Pengarah Pusat Koreksional Puncak Alam. Seramai 80 orang prospek remaja dari Pusat Koreksional Puncak Alam telah mengikuti program yang diadakan.
Penganjuran RnR ini amat bertepatan dengan objektif program sebagai salah satu usaha berterusan oleh pihak JAKIM bagi membantu dan membimbing komuniti delinkuen agar dapat menjauhkan diri dari terjerumus dalam aktiviti yang merosakkan masa depan mereka dengan mengutamakan pemulihan kerohanian dari aspek akidah, akhlak dan sahsiah.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya Slot Interaktif berkenaan Terapi Psikospiritual Islam yang dikendalikan Ustaz Mohd Mustafidurrahman bin Mohd Syahroni bersama-sama dengan barisan fasilitator Al-Falah Team dari Bahagian KSK JAKIM, Slot Ceramah bertajuk “Ramadan-Syukuri Tanpa Tapi” oleh YBrs. Dr Mohd Izwan bin Md Yusof, Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib Berjemaah. Pihak penganjur yang mewakili AJK Masjid Al-Imam Ash Shafie, Kuala Lumpur dan AJK Surau Istiqamah, Putrajaya turut menyampaikan sumbangan makanan dan barangan keperluan harian yang diperoleh daripada koperasi penjara sendiri dengan tujuan khidmat sosial.

Semoga program ini memberi manfaat dan kesedaran kepada semua peserta sebagai panduan hidup di masa hadapan demi kecemerlangan diri, keluarga dan masyarakat.


PROGRAM RnR REMAJA DAN RAMADAN 01

PROGRAM RnR REMAJA DAN RAMADAN 02

PROGRAM RnR REMAJA DAN RAMADAN 03

PROGRAM RnR REMAJA DAN RAMADAN 04

PROGRAM RnR REMAJA DAN RAMADAN 05

PROGRAM RnR REMAJA DAN RAMADAN 06

PROGRAM RnR REMAJA DAN RAMADAN 07

PROGRAM RnR REMAJA DAN RAMADAN 08